Sunday, August 12, 2007

ACUAN PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM




ACUAN PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM

Prof Madya Dr Muhammad Syukri Salleh
IDMP, Universiti Sains Malaysia

Sejak kebangkitan Islam pada akhir tahun tujuh-puluhan, pelbagai disiplin ilmu Islam telah diterokai kembali. Sesetengahnya, seperti ilmu pembangunan berteraskan Islam, tidak pernah muncul sebagai satu disiplin ilmu sebelum ini, walaupun asas-asasnya telah dipraktikkan oleh umat Islam terdahulu dengan jayanya. Kegigihan cendekiawan masakini menggali dan menggilap semula ilmu pembangunan berteraskan Islam, seperti juga ilmu-ilmu lain, cukup mengkagumkan.
Namun begitu, dalam keadaan dunia didominasi oleh ilmu-ilmu bukan-Islam, kadangkala ilmu pembangunan yang dikatakan berteraskan Islam ini, seperti juga dalam kes banyak ilmu-ilmu lain, secara sedar atau tidak nampaknya bercampur aduk dengan ilmu-ilmu bukan-Islam berkenaan.
Masalah ini tentunya perlu diatasi. Antara perkara penting yang mesti dilakukan ialah dengan meneliti kembali acuan ilmu pembangunan berteraskan Islam agar dengan itu ilmu ini dapat lahir dari acuan Islam sendiri. Inilah tujuan utama makallah ini.

Asas Teori Pembangunan Lazim
Dalam teori pembangunan lazim, pembangunan muncul hanya dari dua acuan falsafah. Pertama ialah dari falsafah pasca-klasikal manakala kedua ialah dari falsafah radikal. Pembangunan yang lahir dari falsafah pasca-klasikal mengamalkan sistem liberal kapitalis manakala pembangunan yang lahir dari falsafah radikal pula mengamalkan sistem sosialis atau komunis.
Sistem liberal kapitalis yang lahir dari falsafah pasca-klasikal beroperasi berlandaskan teori pertumbuhan dan kemudiannya teori pengagihan-dengan-pertumbuhan. Sistem sosialis atau komunis yang lahir dari falsafah radikal pula mendorong kepada lahirnya teori strukturalis dan kemudiannya teori pergantungan.
Walaupun sistem liberal-kapitalis dan sosialis-komunis lahir dari dua falsafah yang berbeza, namun kedua-dua falsafah itu sebenarnya tumbuh dari acuan paradigme yang sama. Epistemologi falsafah kedua-dua pasca-klasikal dan radikal adalah bersifat eurocentric dan Western ethno-centric. Kedua-duanya berkongsi susur-galur ilmu yang sama, yakni dari Barat. Matlamat akhir kedua-dua falsafah tersebut juga adalah tidak berbeza. Kedua-dua falsafah pasca-klasikal dan radikal menuju kepada pemaksimaan pengeluaran dan kepenggunaan, walaupun dengan memakai istilah yang tidak sama.
Dengan itu, oleh kerana falsafah kedua-dua sistem pembangunan liberal-kapitalis dan sosialis-komunis berasal dari satu dan matlamat kedua-duanya juga adalah sama, maka kedua-duanya adalah serupa. Kalau pun ada perbezaan antara keduanya, ia hanya dari segi perkaedahan mencapai matlamat sahaja. Dalam keadaan demikian, kedua-duanya sebenarnya berada dalam satu paradigme.

Acuan Pembangunan Berteraskan Islam
Pembangunan berteraskan Islam tidak boleh muncul dari paradigme begini. Epistemologi ilmu Islam sendiri adalah berbeza dari epistemologi ilmu teori pembangunan lazim. Epistemologi ilmu teori pembangunan lazim berakar umbi dari pemikiran Barat, manakala epistemologi ilmu Islam berakar umbi dari empat sumber utama, yakni Al-Qur’an, Hadith, Ijma’ dan Qiyas ulamak.
Keempat-empat sumber ini membentuk satu worldview yang jauh berbeza dari world-view Barat yang membentuk ilmu teori pembangunan lazim. Oleh kerana worldviewlah yang mencorak segala kehidupan manusia, maka pembangunan yang muncul dari worldview lazim bukan merupakan pembangunan berteraskan Islam yang tulin. Selagi ia tidak bebaskan diri dari ikatan worldview lazim, selagi itulah ia terkongkong dalam paradigme lazim. Selagi ia terkongkong dalam cengkaman worldview lazim, selagi itulah pembangunan itu tidak boleh dikatakan pembangunan berteraskan Islam.
Atas sebab-sebab di atas, maka pembangunan berteraskan Islam mesti lahir dari acuannya sendiri, dari akar-umbi epistemologi dan worldviewnya sendiri. Atas sebab itu jugalah tidak boleh ada sistem `pembangunan berteraskan Islam’ yang lahir dari campur-aduk antara epistemologi dan worldview Islam dengan epistemologi dan worldview bukan Islam. Dengan ini tidak boleh ada campur-aduk antara isme-isme lain dengan Islam, seperti misalnya kapitalisme Islam atau sosialisme Islam. Hanya dengan acuan epistemologi dan worldview Islam sendiri sahaja akan lahir pembangunan berteraskan Islam yang tulin.
Untuk ini pembangunan berteraskan Islam mesti terbentuk dari empat sumber utama ilmu Islam yakni Al-Qur’an, Hadith, Ijmak dan Qiyas ulamak. Dari sumber ini terbentuklah ilmu yang terbahagi kepada dua, yakni ilmu fardhu `ain dan ilmu fardhu kifayah. Sementara ilmu fardhu `ain menjelaskan tentang ilmu-ilmu yang bersangkutan dengan kewajipan individu manusia, ilmu fardhu kifayah pula bersangkutan dengan kewajipan manusia secara kolektif. Di dalam ilmu fardhu `ain terdapat hal-ehwal keTuhanan (Tauhid), hal-ehwal peraturan hidup (Fiqh) samada dalam pelaksanaan ibadah, muamalah, munakahat atau jinayah, dan hal-ehwal penyucian diri (Tasauf).
Di dalam fardhu kifayah pula terdapat hal-ehwal kehidupan kemasyarakatan seperti perundangan, kedoktoran, politik, ekonomi, pembangunan, sosial dan sebagainya, di samping urusan-urusan memenuhi keperluan kemasyarakatan seperti pengurusan jenazah, pengajaran dan pengajian ilmu dan lain-lain.
Walaupun pembangunan secara umumnya jatuh dalam kategori fardhu kifayah, tunjangnya mesti tetap tertanam kuat dalam ilmu fardhu ‘ain. Tidak boleh dikatakan sesuatu usaha pembangunan itu fardhu kifayah kiranya ia tidak bertunjangkan kepada ilmu fardhu ain. Mana mungkin sesuatu pembangunan itu menjadi fardhu kifayah kiranya ia terputus dari rasa keTauhidan kepada Allah, bebas dari peraturan yang ditetapkan melalui Fekah dan tidak disertai akhlak sebagaimana tuntutan tasauf. Kalau hal ini berlaku, matlamat pembangunan berteraskan Islam tidak mungkin tercapai, skala waktunya menjadi sempit, perkaedahannya tidak berdasarkan kepada pengabdian kepada Allah dan peralatan pembangunan akan dieskploitasi sehabis-habisnya untuk kepentingan nafsu dan keuntungan semata-mata.
Tetapi apabila pembangunan lahir dari acuan Islam, berdasarkan kepada worldview dan epistemologi Islam yang terbentuk dari gabungan ilmu fardhu a’in dan fardhu kifayah, maka matlamat, skala waktu, perkaedahan dan peralatan pembangunan akan berjalan selari sebagaimana tuntutan Islam. Matlamat pembangunan adalah mencapai keredhaan Allah, skala waktunya meliputi alam roh, alam dunia dan alam akhirat, perkaedahannya berdasarkan kepada ibadah, dan peralatannya adalah sumber-sumber alam yang dicipta Allah untuk manusia merealisasikan kekhalifan mereka. Inilah asas-asas pembangunan berteraskan Islam yang tulin.

Sumber:
http://www.geocities.com/muhammadsyukri/DEAcuan.html

0 komentar: