src="http://pagead2.googlesyndication.com/pagead/show_ads.js">
Pemurnian menyeluruh epistemologi Muslim
KEMUNDURAN dan kelemahan umat Islam adalah akibat penyakit kronik yang sukar diubati tanpa diserlahkan puncanya. Pelbagai penyakit menimpa dan kerananya kelemahan dan kemunduran yang dialami begitu parah. Antara yang dikenal pasti berkait ilmu dari pelbagai dimensi. Krisis ilmu dalam masyarakat Islam melebar mencakupi pelbagai perkara. Tetapi semuanya belum ditangani secara semestinya. MOHD NAKHAIE AHMAD mengulas.
KEMAJUAN sains dan teknologi yang berkembang daripada epistemologi moden dan penyelidikan empiris, melahirkan kesan dan pengaruh hebat. Kemajuan dalam lapangan perhubungan, perindustrian, pertanian dan lain-lain amat mengagumkan. Bagaimanapun, sehingga kini manusia gagal mengenali dirinya, menerusi kemajuan ilmu sains dan teknologi, walaupun pelbagai ilmu diwujudkan bagi mengkaji manusia. Bahkan epistemologi moden dan ilmu empiris itu, belum mencapai pendekatan jelas untuk melakar wajah pembangunan insan dan arah tujunya dalam kehidupan. Akibatnya kemajuan sains dan teknologi digarap menerusi pendekatan falsafah Barat, menjadikan manusia terumbang-ambing dan menjerumuskan mereka kepada pola hidup permisif (Ibahiyah), bebas nilai dan menjadikan hidup ini sekadar mencari kepuasan fizikal.
Teori pembangunan moden menyarankan untuk mencapai kemajuan, setiap langkah Barat mesti dituruti. Kehidupan tradisional dirombak dan diganti dengan kehidupan moden. Tiada jalan bagi menuju kemajuan, melainkan berasaskan sains dan teknologi. Kemajuan ekonomi adalah teras dan kerana itu penghayatan sains dan teknologi dalam kegiatan ekonomi satu kemestian.
Saranan ini diterima. Pendekatan pembangunan Barat menjadi acuan negara Islam yang bebas daripada penjajahan. Setiap langkah negara Barat diikuti negara Islam bagi mengisi hasrat kemajuan. Tindak-tanduk mereka mengikut saranan sarjana Barat, menepati apa yang disebutkan oleh Nabi Muhammad:
“Kamu akan mengikut perjalanan umat yang terdahulu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan jika mereka masuk ke lubang biawak sekalipun, nescaya kamu mengikutnya.”
Walaupun begitu keyakinan dan kepatuhan hukkam di negara Islam terhadap pendekatan Barat, kemajuan yang dicita-citakan tidak tercapai. Negara Islam terus dibelenggu kemiskinan, kemunduran, buta huruf dan perpecahan. Bahkan pengaruh negatif peradaban Barat itu dan pola kehidupan permisif menjalar bersama barangan yang mengukuhkan kedudukan umat Islam sebagai masyarakat mustahlik.
Salah satu puncanya ialah kerana ulama dan ilmuwan Islam terumbang-ambing dalam pergelutan antara pemikiran tradisional yang jumud dengan pemikiran Barat yang sekular dan bebas nilai. Epistemologi tradisional bercelaru, beku dan lesu. Sedangkan epistemologi moden Barat, agresif, praktikal, progresif dan nyata, berasaskan ilmu empiri yang mengagumkan, tetapi lekang daripada agama, kehilangan arah selain mendapatkan kelazatan, kemewahan dan keseronokan. Ulama dan ilmuwan Islam tergamam dalam pertarungan antara keimanan dan nilai moral yang kehilangan dukungan epistemologi kukuh dengan kebudayaan moden yang dicipta kemajuan ilmu empiris berasaskan sains dan teknologi.
Dalam banyak hal, keimanan dan akhlak yang didukung pola pemikiran dan kehidupan tradisional, terpaksa mengalah kepada desakan pembangunan dan pengaruh kebudayaan moden. Sintesis daripada pertembungan itu, terus mengekalkan kemunduran berbaur dengan kepincangan moral import.
Bukan tidak ada ahli fikir Islam yang mengeluh dengan kecelaruan dan kepincangan epistemologi intelektual masyarakat Islam. Bukan tidak ada sarjana Barat yang mengeluh mengenai keadaan intelektual moden yang kehilangan arah tujuan. Namun kepincangan dan kecelaruan epistemologi, menjadikan umat Islam moden kehilangan jati dirinya dan gagal membebaskan diri daripada kemunduran yang melingkunginya. Penyakit kronik yang dihadapi umat tidak juga sembuh dengan gerakan modenisasi besar-besaran.
“Apabila ulama dan ilmuwan tergelincir maka alam keseluruhannya akan tergelincir.” Demikian kata-kata hikmah tradisi keilmuan Islam. Kerana keadaan ulama dan ilmuwan yang terumbang-ambing, masyarakat kehilangan cahaya kepemimpinan. Manusia akan memilih orang jahil sebagai pemimpin dan mereka memberi fatwa sewenang-wenangnya, sehingga mereka sesat.
Persoalan asas dalam menyempurnakan kehidupan manusia bagi mencapai matlamat ialah ilmu. Kerana itulah ayat pertama diturunkan adalah perintah membaca. Nas al-Quran yang lain juga memperlihatkan kegiatan keilmuan itu adalah penting untuk pengukuhan iman dan takwa, untuk kehidupan yang dapat meningkatkan prestasi kemuliaan insan dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi.
Kegiatan keilmuandimaksudkan ialah kegiatan pembacaan, pemahaman, melihat dan memerhatikan kejadian alam, langit dan bumi, tumbuh-tumbuhan, haiwan, lautan, angin dan sebagainya. Tetapi bacaan, pemahaman, penyelidikan itu tidak sekadar membaca, menyelidik dan memahami alam, untuk menguasainya, atau dengan lebih jelas untuk memperkosanya. Pembacaan, penyelidikan dan pemahaman itu ialah untuk tujuan murni, untuk manusia memahami destininya, mewujudkan hubungan harmoni dengan alam dan hubungan taqarrub intim dengan Pencipta alam itu sendiri, di samping memanfaatkan nikmat yang diciptakan itu dan diikuti dengan bersyukur kepada Allah.
Perintah membaca dalam al-Quran tidak sekadar membaca al-Quran, tetapi mestilah menembusi laluan hingga memahami alam. Ini kerana arahan Allah dalam al-Quran supaya melihat dan memerhatikan alam, tidak sekadar sedap didengar, tetapi mesti dihayati dan dilaksanakan secara amali. Ini bermakna perintah membaca dalam wahyu pertama itu merangkumi bacaan al-Quran dan bacaan ke atas al-Kanun dan kosmos.
Bacaan, penyelidikan dan pemahaman al-Quran, tidak terbatas kepada mengetahui hukum halal dan haram bagi menyusun tingkah laku manusia atau menyentuh kepercayaan dan keyakinan metafizik. Bacaan itu harus menembusi laluan lebih jauh iaitu memahami hukum perjalanan alam semesta, mengerti kejadian kehidupan dan perjalanan semua kejadian alam. Dalam epistemologi Islam, seperti yang disarankan al-Quran dan al-Sunnah, pengertian sebenar bacaan, tidak terpisah antara bacaan al-Quran yang mengandungi hukum-hakam, arahan, bimbingan dan saranan mengenai susunan perjalanan hidup manusia dari aspek individu dan sosialnya; dengan bacaan al-Kanun yang mengandungi pelbagai ciptaan Allah dan hukum-hakam serta kaedah perjalanannya.
Bacaan, penyelidikan dan pemahaman adalah wasilah kegiatan ilmu dan objek serta saranan yang menjadi bahan bacaan, penyelidikan dan pemahaman untuk mendapat ilmu ialah al-Quran dan al-Kanun. Daripada kedua-duanya dapat ditimba ilmu yang tiada batasan. Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) jika lautan itu tinta untuk tulisan kalimah Tuhanku, nescaya keringlah lautan itu sebelum habis kalimah Tuhanku ditulis, walaupun dibekalkan lagi seumpamanya.” - (al-Kahf: 109).
Begitu luas bahan yang ada dalam al-Quran dan alam yang boleh ditimba untuk diketahui dan dirumuskan sebagai ilmu pengetahuan. Tetapi pengetahuan yang dimaksudkan, bukanlah sekadar mengetahui. Ia hendaklah dibina sehingga mencapai tahap kebijaksanaan atau hikmah. Hanya apabila pengetahuan itu dibentuk sehingga mencapai tahap hikmah barulah berhamburan kebaikan yang banyak.
Allah berfirman, ertinya: “Dia mendatangkan hikmah kepada sesiapa yang Ia suka dan sesiapa yang Ia datangkan hikmah, sesungguhnya ia didatangkan kebaikan yang banyak. Dan ini tidak teringat, melainkan oleh orang yang mempunyai hati.” - (al-Baqarah: 269).
Hikmah ialah pengetahuan mendalam yang tidak mengetahui sesuatu daripada satu aspek saja, tetapi daripada pelbagai aspek dan dapat menggarap persoalan itu secara tepat dan mendalam sehingga timbul keyakinan kebenarannya. Keyakinan seperti yang diungkapkan al-Ghazali dalam al-Munqidz Min al-Dhalal, bahawa apabila dipastikan 2 x 2 ialah empat dan jika ada orang yang berkata bahawa 2 x 2 lapan dan buktinya ia boleh menukarkan sebiji telur menjadi emas dan ia berjaya melakukannya. Namun kita hanya kagum dengan kebolehannya, tetapi tidak mengubah keyakinan kita bahawa 2 x 2 itu adalah empat.
Hanya pengetahuan yang dikejapkan keyakinan itulah akan meningkatkan tahap hikmah. Ini kerana dengan keyakinan itu, hikmah itu akan mempengaruhi jiwa dan hati dan akan memberi kesan kepada hati itu untuk mempengaruhi tingkah laku dan tindak-tanduk seseorang sehingga kelakuan dan tingkah lakunya itu kelihatan bijaksana dan berhikmah.
Seorang yang mempunyai hikmah tidak hanya mengetahui, tetapi berada dalam keadaan harmoni dalam hubungannya dengan Allah dengan iman dan takwa dan harmoni dengan makhluknya dengan kebaikan dan keadilan, bersikap wajar dalam menghadapi perbezaan pendapat, tidak mudah memberi reaksi terhadap perkara yang belum pasti, merendah diri dalam perkara yang diketahui, tidak terkeluar dari mulutnya, semata-mata hukuman, tetapi lebih banyak nasihat dan bimbingan daripada kritikan dan kecaman, serta berlapang dada menangani krisis dan pergolakan. Inilah hukum yang dilahirkan daripada penghayatan epistemologi yang dibina al-Quran.
Sebatian antara ilmu akli dan naqli, antara ilmu syariat dan sains, antara ilmu kasbi dan laduni, menjadi teras di dalam epistemologi Islam. Kerana itu, sains, teknologi, falsafah, sosiologi dan sebagainya, sentiasa berpaut kepada syariat dan tidak lekang daripadanya, sehingga meninggalkannya apabila ia berkembang dan maju. Ini kerana ilmu syariat adalah asas dan daripada dorongan dan desakannya, ilmu lain berkembang dan maju. Bahkan ilmu aqli yang dihasilkan daripada peradaban lain, dibersihkan dulu dengan nilai syariat, sebelum diterima dan dimasukkan ke dalam tradisi ilmu Islam. Kerana untuk menjadikannya sebahagian daripada tradisi ilmu Islam, ia harus terlebih dulu serasi dengan epistemologi Islam. Kerana itu, ilmu dibahagikan kepada ilmu yang berguna dan ilmu yang tidak berguna. Menurut Imam al-Ghazali, ilmu yang berguna ialah ilmu yang menambahkan ketakwaan kepada Allah. Hanya ilmu yang dapat meningkatkan hikmah, membangkitkan kesedaran dan keinsafan, dapat membina insan dan meningkatkannya kepada tahap kemanusiaan yang utuh. Ilmu seumpama itulah ilmu yang berguna daripada perspektif epistemologi Islam.
Kita hanya boleh mengagumi pencapaian sains dan teknologi, sehingga boleh mendarat di bulan, mencipta bom nuklear yang boleh memusnahkan jutaan musuh dalam peperangan sekelip mata, menghasilkan teknologi sehingga manusia beribu-ribu batu jaraknya dapat bercakap antara satu dengan lain. Kita hanya dapat mengagumi pencapaian menakjubkan itu. Tetapi ia belum mencapai tahap hikmah, jika kejayaan itu tidak membawa kesedaran dan kesempurnaan kemanusiaan itu sendiri dan kedudukannya sebagai hamba serta khalifah Allah. Ini bermakna ilmu akliah daripada perspektif Islam, bagaimana maju sekalipun, tidak boleh bebas nilai dan tidak boleh lekang daripada tanggungjawab kemanusiaan seperti yang ditentukan oleh Allah.
Nilai dan tanggungjawab kemanusiaan yang mendukung perkembangan ilmu akliah itu ialah ilmu syariat. Nilai dan tanggungjawab itu terbentuk daripada posisi manusia sebagai hamba Allah dan khalifah. Syariat ialah petunjuk, bimbingan, hukum dan perintah yang membentuk kemanusiaan. Ia adalah asas yang memberi dukungan kepada perkembangan ilmu akliah (sains, teknologi, psikologi, dll) dan mendisiplinkan ilmu itu supaya perjalanannya tidak membawa kerosakan kepada manusia dan alam.
Kerosakan alam adalah akibat daripada penyelewengan fungsi ilmu. Allah berfirman, ertinya: “Lahir kerosakan di darat dan di bumi akibat pelakuan manusia.”
Kerosakan terjadi dengan dahsyatnya, jika ilmu akliah itu berada di tangan manusia barbarik yang tohor kemanusiaannya. Untuk membebaskan manusia daripada sifat barbarik ini sehingga menjadi manusia madani, penghayatan syariat adalah syaratnya. Insan mesti dibangun berasaskan epistemologi mengintegrasikan ilmu naqli dan akli yang mensepadukan syariat dengan sains dan kemanusiaan. Sumbernya ialah bacaan teliti kepada al-Quran dan al-Kanun dan menterjemahkan hasil penelitian itu ke dalam pembangunan.
Pencemaran dalam ilmu syariat berpunca daripada penyimpangan kegiatan ilmu daripada epistemologi sebenar, khususnya apabila bacaan yang ditumpukan semata-mata secara harfi dan falsafah. Bacaan seumpama itu terikat kepada susunan bahasa tanpa menembusi kefahaman terhadap realiti alam dan kehidupan yang digarap daripada al-Kanun. Ini menyebabkan pemisahan antara ilmu akli dan naqli. Pemisahan ilmu naqli itu adalah akibat penekanan terhadap pengkhususan cabang ilmu itu.
Penyimpangan ini menyebabkan perkembangan ilmu syariat akhirnya terlepas daripada pegangan epistemologi Islam asal dan melebar pengaruh bidaah dan khurafat. Kesan pengaruh bidaah dan khurafat ini amat besar. Proses keruntuhan tamadun berlaku dengan pantas dan umat Islam menuju zaman kejatuhannya.
Penyimpangan terbesar berpunca daripada pencemaran ke atas salah satu sumber ajaran Islam iaitu al-Sunnah. Pencemaran itu berlaku daripada kegiatan memalsukan hadis. Di peringkat lebih awal ia berpunca daripada kegiatan menafsirkan al-Quran supaya sesuai dengan pegangan politik kepuakan. Umpamanya tafsiran Khawarij terhadap ayat al-Quran bagi menyokong pendirian mereka menentang tahkim.
Pengertian sunnah sebagai sumber ajaran Islam, mengalami pencemaran lebih besar apabila ia bukan hanya diertikan perkataan, perbuatan dan pengakuan Nabi Muhammad tetapi juga perkataan, perbuatan dan pengakuan imam atau pemimpin parti tertentu. Lebih mencemarkan apabila pemimpin itu diangkat ke taraf maksum.
Kepincangan asas epistemologi dalam kegiatan ilmu akli dan naqli dan pencemaran ilmu yang terpancar daripadanya, memerlukan proses pemurnian dan islah menyeluruh. Tetapi perjuangan mengislahkan ilmu menerusi usaha memurnikan epistemologi itu, bukanlah mudah. Ia harus dilakukan ulama dan ilmuwan yang berpengetahuan mendalam dalam lapangan ilmu akli dan naqli, mempunyai kesedaran mendalam, keberanian dan kesabaran tinggi bagi menghadapi cabaran.
Sumber: http://161.139.39.251/akhbar/islam/1996/bh96b01.htm
Sunday, August 12, 2007
Pemurnian menyeluruh epistemologi Muslim
Diposting oleh greata di 8:54 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komentar:
Post a Comment